suria

Tragedi MH17 Menyatukan Semula Keluarga Kami

PETALING JAYA: Bersatu dalam kesedihan, keluarga kepada Karamjit Singh, salah seorang penumpang yang menjadi mangsa tragedi pesawat penerbangan MH17 mengenepikan perselisihan faham sambil menunggu jenazahnya dibawa pulang dari Belanda pada Jumaat.

Anaknya Amarpal Singh berkata, keluarga ibu bapanya telah menyelesaikan salah faham yang berlaku di antara mereka sebelum ini.

"Tragedi ini telah menjadikan kita semua kembali bersama sekarang," kata pelajar perubatan  Universiti Monash Malaysia, Johor Bahru.

Karamjit, 54, bekerja dengan ExxonMobil dan merupakan antara 43 penumpang dan anak kapal Malaysia di dalam pesawat yang ditembak jatuh di Donestk, timur Ukraine, pada 17 Julai.

Amarpal berkata ibunya Harbinder Kaur, 52, dan adiknya telah belajar untuk meneruskan kehidupan, sambil menambah mereka masih merasakan kehadiran Karamjit, terutamanya apabila mereka berdoa.

"Kami duduk bersama, melalui saat-saat ini bersama dan membincangkan bagaimana kita akan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga," kata Amarpal. 

"Itulah yang ayah saya mahukan selama ini," katanya.

Amarpal berkata, dia dan adiknya, yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak, akan pulang ke rumahnya di Setiawangsa esok untuk membuat persiapan menerima mayat bapa mereka.

Katanya mayat bapanya akan dibakar di krematorium Nirvana dan abunya akan dibawa ke Pulapol Gurdwara untuk disembahyangkan. 

Amarpal berkata abu datuk dan nenek sebelah bapanya ditabur di laut di Pelabuhan Klang dan mereka akan melakukan perkara yang sama terhadap bapanya.
MH17, Amarpal Singh, Karamjit Singh

Artikel Lain