suria

Perluas Sumbangan Alat My Second Eye - Muhyiddin

Muhyiddin (kanan) bersama Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Shahrin Sahib (kiri) memakaikan alat elektronik 'My Second Eye' pada Lai Chiun Teek, 42, yang cacat penglihatan selepas melancarkan program My Second Eye di sini, Selasa.
KUALA LUMPUR: Inovasi 'My Second Eye' menggunakan pengesan elektronik diperkenalkan bagi membantu masyarakat cacat penglihatan di negara ini.

Menerusinya, golongan istimewa itu dapat mengesan halangan pada kedudukan  paras tubuh, sekali gus memberi isyarat arah halangan bagi membantu memudahkan pergerakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 'My Second Eye' adalah program anjuran bersama institusi perbankan, Standard Chartered dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).

"Ia adalah pendekatan serampang dua mata dalam melaksanakan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat yang cacat penglihatan.

"Inovasi 'My Second Eye' ini merupakan hasil penyelidikan anak tempatan dari UTeM. Ia berjaya memenangi anugerah antarabangsa," katanya pada majlis pelancaran program inovasi 'My Second Eye' di sini, Selasa.

Majlis turut menyaksikan sumbangan peralatan itu kepada individu buta dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Standard Chartered, Osman Morad; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk Ganesan Supayah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau berharap alat bantuan teknologi tersebut dapat disumbangkan secara meluas kepada seluruh komuniti yang mengalami masalah penglihatan di negara ini.

Menurut statistik terkini katanya, seramai 46,875 individu cacat penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Oleh yang demikian, sumbangan seperti ini sekurang-kurangnya boleh membantu mereka berdikari dalam menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah tanpa terlalu bergantung dengan bantuan orang lain," katanya.

Antara anugerah yang dimenangi menerusi inovasi 'My Second Eye' ialah Pingat Perak di Pameran Inovasi Antarabangsa Geneva dan Anugerah Inovasi Terbaik dari Persatuan Inovasi Harta Intelek Dunia (WIIPA).

UTeM, My Second Eye

Artikel Berikut

Artikel Lain