suria

MH17: Najib Hargai Sumbangan Pasukan DVI Malaysia

Najib berselfie bersama pasukan DVI Malaysia selepas mendengar taklimat siasatan ketika mengadakan lawatan kerja ke Belanda baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan penghargaan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang telah memainkan peranan dalam proses siasatan nahas pesawat MH17.

"Terima kasih pasukan DVI Malaysia atas usaha membantu proses siasatan dan mengenal pasti mangsa nahas MH17 di Ukraine," kata Perdana Menteri dalam catatan terbaharu beliau di laman Twitter pada Isnin.

Catatan Najib itu dibuat bersama-sama pautan berita Bernama mengenai sumbangan pasukan DVI Malaysia dalam proses penandaan dan pemindahan mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Kharkiv, Ukraine yang menerima pujian pasukan DVI antarabangsa lain.

Sebelas anggota pasukan DVI Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara dua kumpulan pasukan penyiasat negara yang tiba di Kuala Lumpur semalam selepas 22 hari berada di Ukraine.

Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. 


Perdana Menteri, MH17, DVI

Artikel Lain