suria

Masa Depan MAS: Pimpinan Syarikat Mula Bincang Dengan Kakitangan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) berkata pimpinannya telah bertemu dengan wakil kesatuan sekerja dan persatuan-persatuan lain sebagai langkah pertama untuk memaklumkan dan berbincang dengan kakitangan tentang penyusunan semula masa depan syarikat penerbangan nasional itu. 


"Seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas, ini akan menjadi satu proses yang panjang, yang memerlukan semua pihak untuk bekerjasama sekiranya mahu memastikan penyusunan semula itu berjaya," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan , Isnin. 

Meskipun banyak lagi butiran akan datang tentang masa depan itu, MAS berkata ia komited untuk bekerjasama rapat dengan semua kakitangan dan rakan kongsi syarikat penerbangan sepanjang proses tersebut, mengikut prinsip-prinsip keadilan, ketelusan dan belas kasihan. 

"Ia suatu yang kritikal bagi semua untuk menumpu mengekalkan momentum perniagaan MAS dan terus menyediakan perkhidmatan kelas dunia kepada pelanggan," kata syarikat itu. 

Jumaat lepas, Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham utama MAS, menyerahkan permohonan rasmi kepada lembaga pengarah syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih bagi saham-saham biasa MAS. 

Apabila selesai, Khazanah Nasional akan menjadi pemegang saham biasa tunggal MAS, yang akan dinyahsenarai daripada kaunter Bursa Malaysia.

Pada hari yang sama, MAS berkata ia menjangka cadangan langkah SCR itu selesai pada suku keempat tahun ini.

MAS, Khazanah Nasional Bhd

Artikel Lain