suria

Kementerian Pelancongan Gesa Isu Keselamatan Di Sabah Diselesai Segera

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada Isnin menggesa pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan isu keselamatan di Sabah bagi memastikan sektor pelancongan di negeri itu tidak terjejas ekoran beberapa kes penculikan yang berlaku. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementeriannya menerusi Sabah Tourism giat mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan tetapi soal keselamatan didapati masih menjadi kebimbangan pelancong. 

"Kita telah melakukan pelbagai aktiviti untuk menarik pelancong ke negeri itu, namun kita hanya boleh lakukan setakat itu sahaja...soal keselamatan bukan di bawah kementerian kami. 

"Malanglah dengan apa yang telah berlaku di Sabah kerana banyak kedutaan juga telah mengeluarkan 'Travel Advisory' yang tidak menggalakkan rakyatnya melawat negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) 2014, di sini Isnin. 

Industri pelancongan di Sabah menerima tamparan apabila kes penculikan dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak kes pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Terbaharu ialah kejadian culik seorang anggota polis di Pulau Mabul di Samporna pada awal Julai lepas. 

Mohamed Nazri juga meminta semua pihak berganding bahu dalam usaha merealiasikan sasaran 28 juta pelancong ke Malaysia tahun ini. 

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2014 pada awal tahun ini telah menyeru agar semua pihak menjalankan peranan masing-masing dalam menjayakan program pelancongan di negara ini. 

"Jadi saya harap saranan PM ini akan diterima oleh semua rakyat Malaysia, dan begitu juga kepada pihak kementerian yang menjaga hal keselamatan ini agar berusaha untuk terus menjamin keselamatan negara, terutamanya di Sabah," katanya. 

Katanya, kerajaan yakin sasaran ketibaan 28 juta pelancong ke Malaysia tahun ini akan tercapai, walaupun berlaku beberapa insiden malang seperti kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan tragedi MH17 terhempas di Donetsk, timur Ukraine bulan lepas.

"Statistik kehadiran pelancong pada suku pertama tahun ini telah berjaya mencapai sejumlah tujuh juta pelancong, kalau digandakan dengan empat suku, pasti akan mencapai jumlah 28 juta orang setahun yang kita sasarkan tahun ini," katanya. 

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata 1MCAT yang diperkenalkan sejak tahun 2010 berpotensi mempromosi karyawan seni negara serta hasil karya tempatan ke pasaran global. 

Katanya, 1MCAT bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik dalam bidang karya seni kontemporari, selain sebagai sokongan kerajaan terhadap para karyawan tempatan. 

Beliau berkata festival 1MCAT juga menjana pendapatan negara khususnya dalam sektor pelancongan apabila hasil karya seniman tempatan dibeli oleh para pelancong. 

1MCAT Kuala Lumpur 2014 akan berlangsung mulai Ogos hingga Disember ini di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur, iaitu di Hotel Pullman KL Bangsar, KLPac, Vivatel Home, dan KL Gallery dengan bertemakan Pameran Malaysia Rupawan dan Pameran Inspirasi Alam.

Artikel Lain