suria

Mat Rempit: JPNT Sedia Bekerjasama Dengan PDRM, Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerajaan negeri bagi mengatasi masalah 'Mat Rempit' di negeri ini.

Pengarah JPNT Zakaria Hussin berkata langkah ini bagi mengelak pelajar terbabit dalam gejala sosial itu yang dilihat semakin meruncing di Terengganu.

"Kita memang sedia bekerjasama dengan PDRM bagi mengatasi masalah ini dan pihak jabatan telah mengeluarkan notis peringatan pada bulan lalu kepada semua sekolah di Terengganu untuk memastikan pelajar tidak terlibat dalam gejala sosial ini.

"Pihak polis boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah, dan itu sememangnya hak polis untuk menguatkuasakan undang-undang," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri JPNT, Ahad.

Beliau berkata kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa, amat diperlukan bagi mengatasi masalah Mat Rempit yang membabitkan remaja berusia lingkungan 14hingga 21 tahun.

"Semua pihak perlu memainkan peranan dan ibu bapa terutamanya, perlu peka dan memastikan anak-anak yang hendak menunggang motosikal perlu ada lesen terlebih dahulu, sebab ada sesetengah ibu bapa yang mengambil mudah membenarkan anak mereka menunggang sendiri motosikal ke sekolah walaupun anak mereka tidak ada lesen.

"Pihak jabatan telah memberi pendedahan dan pendidikan secara menyeluruh mengenai keselamatan dan kesalahan jalan raya sejak dari awal pelajar mula masuk ke alam persekolahan, yang mana dalam beberapa subjek, kita terapkan kesedaran sivik serta pendedahan mengenai hal ini kepada pelajar," katanya.

Mat rempit, terengganu

Artikel Lain