suria

Mais, Jais Jangan Terlibat Politik - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin (dua, kiri) menyampaikan titah ucapan di Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai dan Kakitangan Jais di Shah Alam, Jumaat. Mengiringi baginda, Abdul Khalid (kiri) dan Ahmad Zaharin (kanan). -foto THE STAR
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak terlibat dalam agenda politik mana-mana parti.


Baginda bertitah, kedua-dua organisasi itu sebaliknya perlu memperkemaskan tadbir urus dan operasinya, terutama dari segi penguatkuasaan agar menjadi organisasi yang kukuh dan mantap dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

"Beta mahu semua pihak di Mais dan Jais mengelakkan diri daripada terlibat dalam agenda politik mana-mana parti sekali pun.

"Beta mahu Jais dan Mais kekal sebagai institusi yang berkecuali dan menumpukan fungsinya dalam memartabatkan agama Islam di negeri Selangor," titah baginda ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai dan Kakitangan Jais di sini, Jumaat.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Exco Agama Selangor, Sallehen Mukhyi dan Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Baginda bertitah, terdapat segelintir ahli politik pada masa kini yang mahu mengambil kesempatan mempergunakan isu berkaitan agama Islam dan mempertikaikan institusi seperti Jais dan Mais.

"Beta tidak mahu perkara ini berlaku di negeri Selangor," tegas baginda.

Dari segi penguatkuasaan, baginda menasihatkan kakitangan di institusi ini supaya tugas-tugas dilakukan dengan sempurna, mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, adil dan berhemah.

Justeru, baginda mencadangkan supaya Jais melengkap dan memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta menjalankan tugas mengikutnya.

"Jais perlu mengelak bertindak secara kasar serta keterlaluan dan mengetepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.

"Prosedur teratur penting bagi memelihara nama baik Jais kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikaikan setiap tindakan dan kredibiliti Jais," titah baginda.

Dalam titah ucapan baginda mengenai penguatkuasaan undang-undang, baginda turut mengingatkan Jais supaya bertindak dalam lingkungan tugas yang melibatkan kesalahan terhadap isu-isu agama Islam sahaja.

Baginda memberi contoh rumah-rumah urut yang bukan berada di bawah penguatkuasaan mereka, tetapi diletakkan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan.

Titah baginda, penekanan yang lebih terhadap penguatkuasaan undang-undang perlu diberikan terhadap kes-kes berat seperti ajaran sesat, murtad, ceramah tanpa tauliah dan ceramah-ceramah yang mencemarkan kesusian Islam serta merosakkan akidah.

Artikel Lain