suria

Rundingan Lapan Mata Elak Pakatan Rosak - Pemuda PR

PETALING JAYA: Konflik dalaman Pakatan Rakyat (PR) berhubung komplot menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor diakui boleh merosakkan masa depan pakatan pembangkang itu.

Tidak senang dengan perkembangan negatif itu, sayap Pemuda PR menggesa supaya ketiga-tiga kepimpinan tertinggi komponennya mengadakan 'pertemuan lapan mata' dengan Abdul Khalid.

"Kami berpendapat krisis yang sedang melanda ini memberi gambaran kurang baik kepada generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan akan datang. Kami dari Pemuda PR berpendapat isu ini boleh merosakkan masa depan PR dalam melakukan perubahan kepada negara tercinta.

"Kami berpandangan, penyelesaian paling munasabah pada tahap ini adalah pertemuan lapan mata di antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang;  Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang  dan Tan Sri Khalid," demikian menurut kenyataan bersama Pemuda PR pada Khamis.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, Ketua Angkatan Muka Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong.

"Kami yang mewakili sayap anak muda juga mengharapkan pimpinan tertinggi PR khususnya PAS untuk menjadi pemudah cara pertemuan lapan mata ini.

"Kami juga berharap pertemuan yang dicadangkan ini berlaku dalam  suasana mahabbah, berlapang dada dan meletakkan kepentingan kolektif demi masa depan generasi kami di masa akan datang," katanya lagi.

Artikel Lain