suria

Australia Adakan Hari Berkabung Kebangsaan Memperingati Mangsa MH17

Tony Abbot bersama isterinya, Margaret (belakang) hadir di Katedral St Patrick, Melbourne, sebagai memperingati mangsa nahas MH17, Khamis. -AFP
MELBOURNE: Bendera dikibarkan separuh tiang pada Khamis ketika Australia menyambut hari berkabung kebangsaan sebagai memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh dalam nahas MH17 di Ukraine, sehari selepas pakar-pakar menangguhkan usaha mencari mayat.

Australia kehilangan 38 rakyat dan penduduknya, termasuk kanak-kanak, apabila pesawat MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, membunuh semua 298 di atas kapal.

Loceng gereja dibunyikan di seluruh negara ketika upacara peringatan diadakan di Katedral St Patrick di Melbourne, yang dipilih kerana 16 warga Australia yang terkorban adalah dari negeri Victoria.

Upacara yang disertai ahli keluarga yang masih bersedih turut disertai oleh pembesar-pembesar termasuklah Perdana Menteri Tony Abbott dan Gabenor Sir Peter Cosgrove.

"Hari ini adalah hari berkabung kebangsaan dan kami akan sentiasa mengingati 298 orang yang tidak bersalah yang meninggal dunia dalam nahas MH17," kata Abbott. 

"Kami bersedih untuk mereka semua, tetapi terutamanya untuk 38 orang yang menjadikan Australia sebagai rumah mereka. Hari ini kita memperingati mereka dan kami akan memberi penghormatan kepada mereka."

Australia telah menghantar beratus-ratus anggota polis, anggota pertahanan dan pegawai-pegawai lain untuk tugas membawa pulang mayat warga Australia yang terkorban di Ukraine tetapi mengalami kekecewaan apabila carian telah ditangguhkan pada Rabu. 

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata keselamatan merosot di timur Ukraine bermakna misi tidak lagi dapat beroperasi dengan selamat.

Setakat ini, 228 keranda dengan mayat telah diterbangkan ke Belanda, negara yang mempunyai bilangan mangsa paling ramai.
Tony Abbot, MH17

Artikel Lain