suria

Lelaki Dipenjara Sebulan Kerana Cederakan Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga tempat letak kereta dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya menggunakan kasut bola dan pen uji, Sabtu lepas.

 

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memerintahkan R. Segar, 38, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos.

Segar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada S. Umarani, 34, di C-08-15, PPR Taman Beringin Jinjang Utara, Sentul di sini pada 1 pagi Sabtu lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh pulang ke rumah dalam keadaan marah sebelum memukul Umarani menggunakan kasut bola dan pen uji sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, luka kecil di leher dan di kedua-dua belah telapak tangan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan dan kesakitan yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, Segar yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia perlu menanggung enam anak yang masih bersekolah.

Artikel Lain