suria

Mara Tawar Pinjaman Pelajaran Pasca Siswazah Luar Negara

Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tahun ini telah menawarkan bantuan pinjaman pelajaran kepada 956 orang calon yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah di 15 buah negara.


Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 32 orang pelajar ditaja melanjutkan pengajian ke universiti dalam ranking 50 terbaik dunia seperti Oxford University, University of Chicago dan Columbia University.

Katanya, bidang pengajian yang ditaja adalah berkaitan dengan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) antaranya perniagaan, pendidikan, kesihatan dan pertanian bagi memastikan pelajar dapat menyumbang kepada negara dan masyarakat mengikut kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, fokus dalam bidang NKEA sekali gus dapat mengangkat martabat negara sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan secara kolektif dan inovasi yang turut menyumbang kepada penjanaan pendapatan selain mencapai Wawasan 2020.

Katanya, Mara turut menjalin kerjasama dengan institusi keusahawanan tersohor dunia antaranya Stanford University di California dan Babson College di Boston, Amerika Syarikat bagi menerapkan pendidikan keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

Annuar berkata, Mara melalui pejabat pentadbirannya di luar negara turut memantau pencapaian akademik serta pembangunan sahsiah pelajar secara berterusan dengan menganjurkan Program Pembangunan Pelajar melalui pelbagai aktiviti berbentuk pembabitan secara langsung bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Mara, pinjaman pelajaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain