suria

Geng Ben Tumpas Ketika Operasi Khas

Zainuddin (dua kanan) menunjukkan barang-barang rampasan dalam pelbagai kes.

KUALA LUMPUR: Polis yakin telah menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah dikenali sebagai 'Geng Ben' dengan penahanan dua lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing anggota kumpulan itu pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Senior Asisten Komisioner  (SAC) Zainuddin Ahmad berkata, keempat-empat anggota kumpulan itu ditahan dalam sebuah kereta Volkswagen di sebuah kondominium di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dalam serbuan satu operasi khas.

Katanya hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menjumpai sebuah beg kecil mengandungi sejumlah kunci kereta pelbagai jenis kenderaan mewah.

"Sebanyak tujuh buah kereta bernilai kira-kira RM1 juta ditemui di dalam kawasan meletakkan kenderaan di kondominium itu. Antara yang ditemui ialah empat buah kereta jenis Volkswagen, sebuah kereta jenis Mercedes Benz, sebuah jenis Audi dan sebuah lagi jenis Honda City," katanya kepada pemberita pada sidang media pada Selasa.

Zainuddin berkata siasatan awal mendapati keempat-empat suspek berumur lingkungan 20-an dan 30-an itu terbabit dengan kegiatan itu sejak dua tahun lalu.

"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes bunuh di Johor, sehubungan itu kesemuanya kini sedang disoal siasat di bawah seksyen 413 Kanun Keseksaan dengan tujuan melupuskan harta curi.

Katanya modus operandi 'Geng Ben' ialah memecah masuk rumah mangsa dan mengambil kunci kenderaan sebelum melarikan kenderaan mewah tersebut dan mereka bergiat aktif di ibu kota, Kedah dan Ipoh.

Sementara itu dalam kes berasingan Jumaat lepas, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi merampas sebanyak 2.9 kilogram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM112,000 dan menahan dua lelaki warga tempatan berusia 23 tahun dan 28 tahun dalam sebuah bilik rumah kedai di Jalan Sungai Besi di sini.

Kedua-duanya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses serta mengedar dadah.

Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

geng Ben

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain