suria

Kes Bunuh TKP Kastam Selesai Dalam Tempoh Terdekat

KUALA LUMPUR: Polis yakin akan dapat menyelesaikan dalam masa terdekat, kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim, pada April tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata pihaknya kini mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan operasi untuk mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Pada Julai lepas polis menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"...dan buat masa sekarang kesemua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bagi membantu dalam siasatan dua kes berlainan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal, melepaskan tiga das tembakan jarak dekat ke arah Shaharuddin ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa, Putrajaya.

Dalam majlis yang disempurnakan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa itu, empat pegawai kanan polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat daripada Deputi Supritendan kepada Supritendan dan kesemua mereka akan ditempatkan di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Tajuddin berkata jabatan yang baru ditubuhkan itu akan memberi memberi fokus dalam penganjuran kempen pencegahan jenayah dan mengurangkan jenayah menerusi sistem pencegahan serta pembanterasan yang berkesan.


Kastam, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain