suria

Lagi Mayat Mangsa MH17 Diterbangkan Ke Belanda

Pesawat membawa mayat mangsa tragedi MH17 dari Ukraine tiba di Lapangan Terbang Eindhoven, Belanda, Isnin. -foto AFP
KIEV: Sebuah pesawat yang membawa mayat mangsa nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine dibawa terbang ke Belanda pada Isnin, ketika pakar-pakar dari Malaysia tiba untuk menyertai siasatan antarabangsa di lokasi kemalangan.

Kerajaan Ukraine berkata, pesawat itu membawa mayat-mayat terbaharu yang ditemui dalam operasi carian, berserta DNA dan barang-barang yang telah disimpan untuk beberapa ketika di bandar pemberontak di Donetsk.

Sebelum penerbangan pada Isnin, 227 keranda telah dibawa ke Belanda, negara yang mempunyai paling ramai mangsa dalam nahas 17 Julai, untuk proses pengenalan yang teliti.

Tetapi Ketua Misi Polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg pada Ahad berkata: "Kami menjangkakan bahawa akan ada lebih banyak penerbangan ke Belanda pada masa akan datang."

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila pesawat Malaysia Airlines yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh dari ruang udara hampir tiga minggu lepas.

Siasatan terhadap nahas, yang merupakan pesawat kedua melibatkan Malaysia Airlines tahun ini telah berkali-kali ditangguhkan kerana pertempuran di rantau ini di antara tentera kerajaan dan pejuang pemisah pro-Moscow.

Amerika Syarikat berkata pemberontak menembak jatuh kapal terbang dengan peluru berpandu permukaan yang mungkin dibekalkan oleh Rusia, tetapi Moscow dan pemberontak menyalahkan tentera Ukraine.

Pada Isnin, pakar-pakar Malaysia menyertai polis Belanda dan Australia untuk kali pertama ketika mereka terus berada di kawasan itu bagi mengesan mangsa, menurut satu kenyataan daripada kementerian keselamatan dan keadilan Belanda.

Pakar-pakar sebelum ini dihalang daripada mengakses tapak yang dikuasai pemberontak tetapi akhirnya dibenarkan memasukinya, menurut Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), yang telah memantau keadaan di Ukraine dan mempunyai pemantau yang mengiringi pakar.

"Kerja-kerja di lokasi kemalangan MH17 dilakukan oleh pakar-kakar 100 peratus," beliau menulis di Twitter, petang Isnin.

Anjing penghidu telah mengiringi pakar, katanya.

124 pakar hadir di tempat kejadian dan "merancang untuk meneroka dua kawasan barat tapak nahas itu," kata kerajaan di Kiev dalam satu kenyataan berasingan.

Kiev, MH17, Belanda

Artikel Lain