suria

Warga Emas Mohon Bantuan Baiki Rumah

ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas berusia 81 tahun dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit di sini sangat berharap untuk mendapat bantuan bagi membaiki rumahnya yang sering dilimpahi air setiap kali hujan lebat.

Rodiah Mansor, yang tinggal berseorangan di rumah itu, berkata dia pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) bagi memperbaiki rumahnya sebelum ini tetapi ditolak.

Katanya selepas itu dia tidak lagi memohon untuk kali kedua dan terpaksa berhadapan dengan kesusahan apabila rumah pusaka lebih 30 tahun itu sering dilimpahi air hujan akibat bumbung rumahnya bocor.

"Rumah tok (Rodiah) dekat dengan Sungai Anak Bukit. Hujan lebat, air naik, rumah tok yang kena dulu sebab rendah. Tok mengesot naik atas rumahlah sebab tak boleh berjalan akibat pinggang patah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Ahad.

Katanya dia tidak boleh berjalan sejak lima tahun lepas akibat kecederaan di pinggang setelah terjatuh di rumahnya dan kini hanya mampu mengesot dan merangkak.

Rodiah berkata ketika banjir besar melanda pada November 2010 dia berhadapan dengan detik-detik cemas apabila rumahnya dinaiki air sementara menunggu bantuan kecemasan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat.

Katanya melihat rumahnya dinaiki air dia terpaksa naik ke bahagian atas rumahnya dan tidak mampu menyelamatkan barangan lain yang ada di bahagian bawah rumah kerana tidak boleh berjalan.

"Tok berharaplah kalau ada orang nak bantu buat rumah bagi elok dan tak masuk air hujan. (Sumbangan) kecil pun jadilah sebab tak larat nak bergerak kalau air masuk rumah," katanya.

Katanya dia kini bergantung kepada duit pencen anak lelakinya yang meninggal dunia sejak 20 tahun sebanyak RM150 akibat kemalangan jalan raya ketika berkhidmat sebagai anggota tentera di Pulau Pinang.

Anak Bukit, JZNK

Artikel Lain