suria

Faekah Sindir Guang Eng Sokong Wanita Jadi MB

Faekah Husin.
PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin dengan nada sinis menyindir kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyokong seorang wanita dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam Twitternya pada Sabtu, Faekah berkata, Pulau Pinang harus terlebih dahulu memulakan langkah tersebut.

“Ya mula dengan P.Pinang. Go for it Betty!”," tulisnya di Twitter dituju khas kepada isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng.

Tweet tersebut kelihatan jelas menyindir Betty yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan tidak memegang apa-apa jawatan politik.

Tweet itu juga mencerminkan sokongan Faekah terhadap Khalid kerana beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Pada Jumaat, Guan Eng menggesa semua pemimpin dari pelbagai parti menyokong wanita dilantik sebagai menteri besar.

Hubungan Pakatan Rakyat kini tegang berhubung isu kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Terdahulu, kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersetuju dengan cadangan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor digantikan oleh Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun,  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menolak cadangan untuk melantik Dr Wan Azizah bagi menggantikan Khalid.

Artikel Lain