suria

Mayat Kanak-Kanak Hilang Dalam Kemalangan

TAWAU: Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang dalam nahas di Sungai Kakano, Batu 9 Jalan Kalabakan-Keningau, dekat sini Isnin lepas ditemui pagi Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata mayat Mohd Ryan Firdaus berusia satu tahun tujuh bulan, ditemui orang awam kira-kira 14 kilometer dari lokasi kejadian nahas itu.

"Mayat mangsa itu ditemui pada pukul 9 pagi berhampiran loji air Kampung Ulu Murut, Kalabakan dan mayat mangsa dalam keadaan reput," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk dibedah siasat dan berikutan penemuan itu pihaknya telah menutup operasi di tempat kejadian pada pukul 1 petang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam Isnin lepas itu, tiga orang maut manakala Mohd Ryan dilaporkan hilang selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Sungai Kakano, Batu 9 Jalan Kalabakan-Keningau.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Fatmawati Mustafa, 38, Riduan Sabtula, 47, dan Najar Abdul, 36.


Mayat, Kalabakan

Artikel Sebelum

Artikel Lain