suria

MH17: Usaha Percepat Proses Pengecaman, Penghantaran Pulang Mayat Mangsa

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan mengetuai pasukan daripada kementeriannya bagi mempercepatkan proses pengecaman mangsa bencana (DVI) bagi membolehkan mayat rakyat Malaysia dalam nahas MH17 dapat dibawa pulang secepat mungkin.


Pasukan itu akan berbincang dengan rakan sejawatan mereka di Belanda dan pakar lain yang berkaitan bagi mendapatkan pelbagai pilihan untuk menyelesaikan pelbagai halangan, jika ada, semasa proses itu, kata Dr Subramaniam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Selasa.

Katanya, pada masa ini terdapat 21 pakar dan pegawai perubatan dan forensik odontologi Kementerian Kesihatan, Pertahanan, polis dan Jabatan Kimia yang membantu pihak berkuasa Belanda di Amsterdam.

"Bagi memudahkan lagi proses itu dan penghantaran balik seterusnya mayat ke Malaysia, saya akan menjadi sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri dan pelbagai kementerian ke Amsterdam, untuk mengetuai pasukan saya," katanya.

Beliau juga berkata, prosedur antemortem yang dijalankan sebelum ini oleh pakar forensik odontologi dan perubatan di Malaysia di kalangan waris terdekat merupakan sebahagian daripada proses DVI bagi menggabungkan dan membolehkan proses pemadanan yang diperlukan untuk mengenal pasti dengan tepat mangsa nahas itu.

Bagi mematuhi Peraturan Pengimportan dan Pengeksportan Mayat, Tisu Manusia dan Organisme atau Bahan Patogenik 2006, semua urusan awal juga dibuat bagi memudahkan kemasukan mayat ke Malaysia.

Pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 orang termasuk anak kapal dengan 43 daripadanya rakyat Malaysia.

Pesawat Boeing 777-200ER itu terhempas di Donetsk, timur Ukraine dipercayai ditembak jatuh.


 

Artikel Sebelum

Artikel Lain