suria

MH17: Kaunter Khas Urus Pasport Anggota Polis Ke Ukraine

Kaunter khas pasport dibuka di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya pada Isnin bagi menguruskan permohonan pasport anggota polis yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ke kawasan nahas MH17 Rabu ini.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen membuka kaunter khas pasport untuk anggota polis Malaysia yang akan berlepas ke lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 Rabu ini.

Pembukaan kaunter khas itu pada Isnin itu berikutan semua kaunter pasport Jabatan Imigresen ditutup sempena cuti sambutan Aidilfitri.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Ibrahim Abdullah berkata, permohonan pasport itu melibatkan seramai 63 anggota polis termasuk 15 anggota yang membuat permohonan dokumen berkenaan pada Ahad.

Katanya, kaunter pasport khas yang dibuka pada hari raya pertama itu beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 1 petang, dikendalikan oleh empat pegawai imigresen.

“Memandangkan kaunter pasport ditutup sempena cuti Hari Raya, kaunter khas dibuka bagi membolehkan urusan dokumen perjalanan anggota polis dapat dilakukan.

“Hari ini, seramai 48 anggota polis membuat permohonan pasport di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, yang dikendalikan oleh empat kakitangan, manakala 15 lagi telah mendapatkan pasport di Pejabat Imigresen Kota Bharu semalam.

“Kemudahan ini sekali gus membantu melancarkan pengurusan membabitkan pasukan polis yang akan berlepas ke Ukraine, Rabu ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Malaysia mencapai persetujuan dengan kumpulan pemisah Ukraine untuk membenarkan pasukan polis antarabangsa ke lokasi nahas MH17 untuk memberi perlindungan kepada pasukan penyiasat.

Seramai 68 anggota polis Malaysia akan berlepas dari Kuala Lumpur ke lokasi nahas sebagai sebahagian daripada pergerakan polis antarabangsa yang turut membabitkan pasukan polis dari Belanda dan Australia.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini penyiasat antarabangsa tidak dapat ke lokasi nahas di timur Ukraine dan mengumpul bukti berikutan kebimbangan mengenai keselamatan, termasuk aktiviti ketenteraan yang berterusan.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata, sempena cuti Hari Raya yang disambut pada 28 dan 29 Julai ini, semua kaunter untuk urusan berkaitan pasport akan ditutup mulai 26 hingga 29 Julai serta pada 2 dan 3 Ogos ini di Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Sarawak.

"Bagi Pejabat Pengeluar Pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seperti Pudu Sentral, Mini UTC Sentul, Melaka, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Kedah, kaunter akan ditutup pada 26, 27, 28 dan 29 Julai ini.

"Sementara itu, perkhidmatan kaunter pasport di Kelantan dan Terengganu hanya ditutup selama dua hari pada 28 hingga 29 Julai,” menurut kenyataan itu.‬


Artikel Lain