suria

Ops Selamat 5: Sabar, Elak Guna Lorong Kecemasan - Mohd Fuad

PETALING JAYA: Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff menegaskan kepada pengguna jalan raya supaya banyak bersabar dan tidak menggunakan lorong kecemasan ketika pulang berhari raya.

Hujung minggu ini, semua lebuhraya serta jalan di bandar utama dijangka sesak dengan pengguna yang akan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

“Kami telah melancarkan Operasi Selamat 5 di seluruh negara bermula Isnin (21 Julai) sehingga 4 Ogos ini dan tumpuan utama di semua lebuhraya dan juga jalan-jalan bandar.

“Dalam masa sama juga, pegawai trafik akan membuat rondaan seperti biasa di jalan-jalan lain bagi memastikan tidak ada sebarang peraturan jalan raya dilanggar pengguna,” jelasnya kepada mStar Online.

Mohd Fuad menasihatkan kepada semua  pengguna yang bakal balik ke kampung agar bersabar dengan aliran trafik yang dijangka sesak.

“Saman akan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

“Apa yang paling penting, dilarang sama sekali menggunakan lorong kecemasan. Selain berbahaya ia juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Mohd Fuad juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan ke destinasi masing-masing lancar.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain