suria

SPAD Pantau Dua Kumpulan Pengendali Teksi Haram - Syed Hamid

Syed Hamid Albar.

JOHOR BAHRU: Dua kumpulan pengendali perkhidmatan teksi yang dipercayai beroperasi secara haram kini dipantau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beroperasi secara tempahan menggunakan aplikasi dalam talian, perkhidmatan teksi yang menggunakan kenderaan persendirian itu dipercayai dikendalikan oleh sesetengah pihak dari luar negara, katanya.

"Perkhidmatan teksi yang mereka berikan ini kononnya mengatasi mana-mana sistem dan mendakwa tidak berada di bawah bidang kuasa SPAD.

"Kalau mengambil penumpang dan menerima bayaran, ini berada di bawah sistem pengangkutan awam dan tertakluk kepada undang-undang pengangkutan awam darat," katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengusaha Pengangkutan Awam di sini, Ahad.

Beliau mengingatkan pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu bahawa mereka berdepan risiko tiada perlindungan insurans sekiranya teksi yang mereka naiki itu terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, satu skim baharu akan diwujudkan bagi menggantikan Skim Dana Sementara, bertujuan membantu pengendali bas henti-henti di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi mereka.

Skim baharu itu dijangka dilaksanakan di di Kota Tinggi dan Kluang pada akhir tahun ini sebelum diperluas ke tempat lain, katanya.

Beliau berkata, menerusi skim baharu itu pengendali perkhidmatan bas tidak perlu bimbang untuk mengutip bayaran tiket kerana penumpang akan menggunakan kad bayaran yang akan direkodkan sistem berkomputer yang dipasang pada bas terbabit.

"Kita akan semak rekod itu, kemudian membuat bayaran penuh kepada pengendali bas mengikut perjalanan yang dibuat oleh penumpang," katanya.

Menurut beliau, SPAD yang menerima peruntukan RM400 juta daripada kerajaan telah membantu 150 syarikat bas henti-henti di Semenanjung dan juga termasuk syarikat di Sabah dan Sarawak yang tidak berada di bawah bidang kuasa SPAD.

Beliau berkata ini merupakan tahun ketiga SPAD melaksanakan skim tersebut.

Syed Hamid Albar, SPAD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain