suria

MH17:MAS Tawar AS$5,000 Kepada Keluarga Penumpang

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan bantuan kewangan AS$5,000 kepada keluarga setiap penumpang pesawat penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MAS,  pada Isnin, syarikat itu menyatakan dana yang  ditawarkan sebagai tanda muhibah dan membantu keluarga terdekat penumpang meringankan keperluan ekonomi mereka.

"Dana untuk tujuan ini sudah disediakan. Citibank telah membantu MAS dengan aturan logistik bagi pemindahan dana.

"Bantuan kewangan ini tidak akan diimbangi dalam bayaran ganti rugi muktamad atau menjejas hak tuntutan sah keluarga berkenaan," jelas kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu, MAS menyatakan, fokus utamanya ialah keprihatinan terhadap anggota keluarga yang terjejas akibat tragedi MH17.

MAS akan membantu keluarga itu pada saat penuh dugaan ini dan akan menyediakan mereka penginapan hotel, makan dan bantuan pengangkutan.

"Pada masa sama, syarikat penerbangan itu telah menugaskan penjaga kebajikan (yang dilatih MAS) bagi setiap anggota keluarga untuk memberi sokongan emosi dan keperluan asas.

"Hingga kini, 79 penjaga kebajikan dan kakitangan sokongan lain berada di Amsterdam, sementara 43 berpangkalan di Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.

MAS berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan KLM dalam usaha membantu anggota keluarga berkenaan dari permulaan lagi.

MAS akan juga menganjurkan sesi doa pelbagai agama untuk kakitangan dan orang ramai pada masa yang akan diberitahu kemudian.

Selain itu, syarikat itu juga meminta kerjasama anggota media supaya menghormati privasi keluarga yang bersedih.

"Keutamaan MAS kekal untuk menyediakan kebajikan dan bantuan kepada keluarga penumpang serta kru dan sebarang maklumat berhubung keadaan peribadi mereka tidak akan diumumkan," menurut kenyataan itu. 


MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain