suria

Terbang Pada Ketinggian 33,000 Kaki Arahan ATC Ukraine - Izham

SEPANG: Pengarah Operasi Malaysia Airlines (MAS)Kapten Izham Ismail hari ini berkata menara kawalan trafik udara (ATC) Ukraine tidak membenarkan Penerbangan MH17 terbang pada ketinggian 35,000 kaki.

Ini kerana katanya menurut ATC Ukraine, laluan yang dipohon oleh MH17 itu sedang diguna dan mengarahkan pesawat tersebut terbang pada ketinggian kedua terbaik iaitu 33,000 kaki yang sebenarnya di atas altitud larangan terbang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai tragedi MH17 di Hotel Sama-Sama di sini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut Liow pula juruterbang perlu mematuhi arahan ATC Ukraine kerana laluan itu berada di bawah bidang kuasa ATC berkenaan.

Beliau juga berkata laluan itu terletak 100 kilometer jaraknya dari kawasan larangan.

"Kawasan larangan terletak di bahagian selatan sementara laluan MH17 100 km di utara dari kawasan itu," kata Liow.

Ditanya mengenai laporan bahawa MH17 melencong daripada laluan asal untuk mengelak taufan, Izham berkata perkara itu tidak benar dan tidak ada taufan berlaku di kawasan tersebut.
 
"Kami sedar tentang maklumat yang tersebar menerusi media sosial berhubung juruterbang melaporkan kepada kami tentang perubahan laluan dan maklumat itu palsu. Tidak ada laporan daripada juruterbang kami.
 
"MAS terbang di seluruh dunia dan aspek keselamatan amat penting bagi kami. Laluan tersebut sudah disahkan selamat untuk penerbangan," kata Izham.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang turut hadir pula berkata Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) merupakan badan pembuat dasar tertinggi dalam sektor penerbangan awam.

Katanya ICAO menggubal amalan standard dalam industri penerbangan sejak 1996 yang dibuat di bawah Konvensyen Chicago.
 
"Justeru, jika ada konflik atau situasi berbahaya di mana-mana negara, mereka yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan notis bagi memberi amaran kepada industri berhubung kawasan terbabit. Negara ini pula mesti mematuhi protokol ICAO," katanya.

Isu altitud Penerbangan MH17 antara yang diperkatakan selepas pesawat itu terhempas dipercayai akibat ditembak di Ukraine.

Penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu membawa 283 penumpang dari pelbagai negara serta 15 anak kapal ketika terhempas pada Khamis.

Pesawat Boeing 777 milik MAS itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 6.10 pagi Jumaat waktu Malaysia. 

MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain