suria

Kerajaan Berusaha Bawa Pulang Mayat Rakyat Malaysia - Jamil Khir

Jamil Khir Baharom.
SUNGAI PETANI: Kerajaan akan berusaha membawa pulang mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 ke tanah air, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata namun keputusan akhir mengenainya akan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor berkaitan. 
 
"Dalam keadaan sekarang, proses (bawa balik mayat) bergantung kepada maklumat yang akan disampaikan dan ini akan diputuskan oleh kerajaan. Kita akan berusaha sedaya mungkin," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Jariah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)
sempena Ihya' Ramadhan di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menghantar 10 pegawainya termasuk dua ustazah ke Kiev, ibu negara Ukraine, bagi menguruskan keperluan jenazah mangsa Islam.
 
"Mereka telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar mengenai (pengurusan) jenazah termasuk daripada Bahagian Penyelidikan Jakim yang membuat penyelidikan dan persiapan awal.
 
Mengulas mengenai solat sunat ghaib, Jamil Khir berkata ia akan dilakukan selepas jenazah selesai diuruskan.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan bantuan YaPEIM sebanyak RM45,000 kepada 300 anak yatim dan miskin selain sumbangan RM73,000 diagihkan kepada 47 masjid dan 151 surau sekitar daerah Kuala Muda dan Yan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, berhampiran dengan sempadan Rusia, pada Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat. 

MH17, MAS

Artikel Lain