suria

Kawasan MH17 Terhempas Dipersetujui Sebagai Zon Selamat - Duta Ukraine

KUALA LUMPUR: Kerajaan Ukraine dan puak pemisah telah bersetuju mewujudkan zon selamat sekitar kawasan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas - di wilayah Donetsk di bahagian timur negara itu dekat sempadan Rusia. 

Duta Besar Ukraine ke Malaysia Ihor V. Humenyyi berkata pihak berkuasa Ukraine dan puak pemisah - yang kini menguasai wilayah itu - bersetuju tidak ada pertempuran dibenarkan di kawasan berkenaan seluas 400 kilometer persegi (20km x 20km) bagi membolehkan siasatan dijalankan. 

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata pihak berkuasa sedang mengambil segala langkah demi menjamin keselamatan pasukan antarabangsa yang masuk ke kawasan itu, terutama pasukan penyiasat dari Malaysia. 
 
"Saya yakin setiap langkah telah diambil bagi menjamin keselamatan pasukan itu," katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata, waris mangsa MH17 akan dibawa ke Kharkiv - beberapa ratus kilometer di luar kawasan itu - demi keselamatan mereka dan bagi membolehkan mereka menunggu hasil operasi mencari. 

Penerbangan MH17, membawa 298 orang, termasuk 15 kru dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia dipercayai telah ditembak jatuh di wilayah Donetsk. 

Pesawat itu meninggalkan Amsterdam pada Khamis 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia)
hari Jumaat. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pada awal Jumaat bahawa pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh. 

Malaysia akan berusaha menyiasat punca sebenar pesawat terhempas. 

Pasukan penyiasat khas Malaysia terdiri daripada 131 personel dari pelbagai agensi kerajaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev di Ukraine pada Sabtu.

Humenyyi berkata selain pasukan Ukraine dan Malaysia, terdapat juga wakil dari Interpol dan badan penerbangan termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam antarabangsa (ICAO), menuju ke kawasan terhempas bagi menjalankan siasatan. 

Menjelaskan lebih banjut, beliau berkata kakitangan dari Kementerian Situasai Darurat Ukraine dengan teknologi, teknik dan pengalaman khas akan membantu pasukan antarabangsa dalam tugas mereka. 

Memandangkan kawasan itu berada dalam daerah bergolak, duta itu menasihatkan pasukan berkenaan meninggalkan tempat itu secepat mungkin, sebaik saja mereka selesai dengan tugas. 
 
"Tidak perlu berada lama di sana. Ambil apa yang mungkin dan bawa ke makmal atau tempat khas untuk siasat," kata beliau. 

MH17, MAS

Artikel Lain