suria

Laluan MH17 Rentasi Ukraine Diluluskan Badan Penerbangan - Liow

SEPANG: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 menggunakan laluan merentasi Ukraine yang sedang bergolak kerana laluan itu diisytiharkan selamat dan diluluskan oleh badan penerbangan antarabangsa, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, hari ini.

"Kami telah menggunakan laluan ini banyak, banyak kali. Malah, 15 daripada 16 syarikat penerbangan di Asia Pasifik menggunakan laluan ini. Syarikat penerbangan Eropah pun menggunakan laluan ini. 

"Kami tidak akan menggunakan laluan itu, kecuali jika ada notis saat akhir untuk mengubah laluan berkenaan tetapi...tidak ada sebarang notis," katanya pada sidang berita di Hotel Sama-Sama di sini. 

Liow berkata MAS memutuskan untuk menggunakan laluan lain selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menutup laluan itu dan menyediakan laluan penerbangan alternatif berikutan nahas MH17 malam tadi.

MH17 adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. 

Pesawat itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.
MH17, MAS, Liow Tiong Lai

Artikel Lain