suria

MH17: Waris Anak Kapal Dapat Pampasan Sepatutnya

KUANTAN: Kementerian Sumber Manusia akan memastikan waris-waris anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 mendapat pampasan sepatutnya terutamanya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata agensi yang terlibat telah diminta untuk meneliti peraturan dan undang-undang yang berkaitan dan mempercepatkan proses membantu mereka.

"Tidak seperti insiden MH370, pesawat MH17 disahkan terhempas dan mengorbankan semua anak kapal yang ketika itu menjalankan tugas.

"Jadi, mereka berhak mendapat pampasan seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan berbuka puasa di kilang Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd di sini, malam Jumaat.

Beliau berkata kementerian akan mendapatkan maklumat semua anak kapal berkenaan sebelum Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem membuat pengumuman rasmi mengenai pampasan itu.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur Khamis lepas.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.


MH17, MAS

Artikel Lain