suria

MH17: Kesilapan Tiket Selamatkan Nyawa Kami

Barry (kiri) bersama isteri dan anaknya ketika ditemuramah oleh BBC News di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Khamis.
SEPANG: Kesilapan kecil pada tiket rupa-rupanya mempunyai hikmah dan mampu menyelamatkan nyawa serta kehidupan sepasang suami isteri, bersama bayi perempuan mereka yang berusia tiga bulan.

Barry Rahman Sim, 44, dan Izwani Rahman, 31, merupakan pasangan penumpang yang 'terselamat' daripada tragedi MH17 yang dilaporkan ditembak jatuh dan terhempas di Ukraine selepas dinafikan penerbangan tersebut oleh MAS kerana masalah tiket dan tempat duduk.

Pasangan ini yang pada asalnya mahu menaiki MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada tarikh 17 Julai akhirnya ditukarkan ke penerbangan ganti KLM ke destinasi sama.

Mereka sebak mengimbas kembali saat-saat apabila mereka tetap mendesak kakitangan kaunter tiket yang melakukan kesilapan memasukkan butir-butir di tiket mereka agar mencuba sedaya upaya bagi membolehkan mereka pulang ke Kuala Lumpur menaiki MH17.


"Saya tak percaya saya telah bersungguh-sungguh meminta kami sekeluarga ditempatkan di MH17, sebuah pesawat yang akan ditembak jatuh dan kemudian hancur berkecai. Ia seolah-olah saya 'mendesak' meminta kami menaiki pesawat malang.

"Ia merupakan satu hikmah besar untuk kami sekeluarga walau hanya dengan kesilapan kecil pada tiket," kata Barry yang akhirnya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama isteri dan anaknya dengan penerbangan KLM pada pukul 3.18 petang Jumaat.

Barry yang berasal dari Scotland dan bertugas di sini berkata, dia dan isteri sering terbang ke luar negara menaiki pesawat MAS tetapi tidak pernah menghadapi saat-saat yang rumit dan sukar seperti perjalanan mereka kali ini.

Katanya, untuk penerbangan pulang dari Amsterdam sahaja, dia terpaksa membuat pembetulan pada tiket sebanyak empat kali.

"Selepas kesilapan demi kesilapan, urusan tiket penerbangan pulang hanya selesai beberapa jam sebelum kami berlepas ke sana dua minggu lalu," katanya sambil menafikan laporan terdahulu bahawa dia menukar tiket penerbangan pada saat-saat akhir.

Dia yang berada di sana kerana bertugas mengakui selepas apa yang berlaku, dia sedar betapa Tuhan masih sayangkan dirinya dan keluarga serta mahu mereka meneruskan kehidupan bersama orang-orang tersayang.

"Saya dan isteri yakin diberikan peluang kedua oleh-Nya.

"Bayangkan kami beberapa kali bertekak dengan kakitangan MAS, menghantar emel kepada mereka, mencuba sedaya-upaya untuk pulang juga dengan pesawat itu tetapi usaha kami gagal.

"Ketika kami ingin sangat menaiki MAS, seperti ada 'sesuatu' yang menghalang kami daripada menaikinya. Ia satu keajaiban," katanya.

Menurut Barry, dia dan isteri bertegas mahu menaiki pesawat MAS kerana mereka adalah pelanggan setia syarikat penerbangan itu dan amat berpuas hati dengan khidmat dan layanan yang diberikan selama ini.

"Kami fikir kesilapan yang berlaku bukan salah kami jadi kami berhak bersuara dan menuntut hak kami," katanya.

Pasangan ini akhirnya selamat tiba di KLIA, petang Jumaat.

Sementara itu, isterinya, Izwani menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu hikmah yang amat besar buat mereka sekeluarga.

Dia yang menangis sebaik sahaja mendapat tahu mengenai nahas itu terus menghubungi keluarganya di Perak, meminta mereka mendoakan perjalanan pulang mereka selamat.

"Saya amat bersyukur kepada Allah, bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk hidup dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

"Kalau sebelum ini saya mengeluh dan rasa marah dengan tiket yang silap, kini saya rasa mahu sangat berterima kasih kepada staf yang membuat kesilapan pada tiket kami itu.

"Seboleh-bolehnya saya menolak menaiki pesawat KLM sebelum ini tetapi kali ini saya harus katakan kesyukuran ditawarkan penerbangan ini pada saat-saat akhir," katanya lega selepas penerbangan selamat mendarat.

Mengimbas pengalaman Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, dia juga terkejut apabila melihat ramai anggota penguatkuasa mengawal ketat sekitar lapangan terbang ketika mahu berlepas pulang.

"Saya didatangi wartawan tempatan dan antarabangsa untuk ditemuramah apabila saya pergi untuk melihat apa yang berlaku di kaunter MAS di sana yang ditutup pada masa itu.

"Seperti yang dikatakan suami saya, saya beritahu mereka situasi ini bukanlah apa yang kami mahu tetapi yang pasti kami benar-benar rasa seperti diberi peluang kedua untuk terus hidup," katanya.
MH17, MAS, Amsterdam

Artikel Lain