suria

Ukraine Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Nahas MH17

Liow Tiong Lai
SEPANG: Ukraine menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dilaporkan ditembak jatuh, dan terhempas di Ukraine pada Khamis.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata suruhanjaya itu bertanggungjawab menjalankan siasatan nahas itu dan mengemas kini maklumat kepada waris mangsa.

Beliau berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang berhubung dengan Menteri Luar Ukraine Pavlo Klimkin diberitahu bahawa kerajaan Ukraine menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk memastikan siasatan itu dijalankan dengan telus tanpa sebarang halangan.

"Malaysia telah dipelawa untuk terlibat dalam siasatan itu dan kami akan menghantar dua orang pakar bagi membantu Ukraine dalam siasatan itu. Suruhanjaya itu juga melibatkan pakar-pakar asing," katanya pada sidang berita mengenai tragedi MH17 di Hotel Sama-Sama, Jumaat.

Pesawat MH17 adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 telah ditembak jatuh. 

Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat. 

Mengikut Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Liow berkata kerajaan Ukraine akan memulakan siasatan mengenai keadaan nahas itu dan akan bertanggungjawab terhadap perjalanan siasatan itu. 

"Maklumat terkini mengenai siasatan itu akan disampaikan kepada waris oleh pihak berkuasa siasatan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan ICAO," kata beliau.

Menurutnya Malaysia juag menawarkan sokongan penuh dan tanpa syarat kepada siasatan itu.
Ukraine, Mh17, Suruhanjaya Bebas

Artikel Berikut

Artikel Lain