suria

MAS Sahkan 298 Naiki Pesawat MH17

PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada Jumaat mengesahkan terdapat 298 penumpang, termasuk anak kapal berada di dalam pesawat MH17 dan bukannya, 295 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

MAS menjelaskan, angka itu bertentangan dengan kenyataan sebelum ini, yang menyebut penerbangan itu membawa 283 penumpang termasuk tiga bayi dari pelbagai negara dan 15 anak kapal warganegara Malaysia.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan sebelum ini berkata, pesawat malang penerbangan MH17 itu membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Warganegara beberapa penumpang masih belum dikenal pasti.

Senarai penumpang dan anak kapal mengikut negara adalah seperti berikut:

Belanda - 154 

Malaysia - 43 (termasuk 15 kru dan dua bayi)

Australia - 27

Indonesia - 12 (termasuk seorang bayi)

United Kingdom - 9

Jerman - 4

Belgium - 4

Filipina - 3

Kanada - 1

Belum dikenal pasti -  41

MAS kini dalam proses memaklumkan kesemua ahli keluarga penumpang dan anak kapal.



Senarai kru MAS MH17.

Fokus utama syarikat penerbangan itu adalah bekerjasama dengan pasukan kecemasan dan pihak berkuasa serta menggerakkan sistem sokongan penuh untuk menyediakan semua keperluan kepada ahli keluarga mangsa.

MAS akan menggerakkan 'Go Team' ke Amsterdam dengan sekumpulan penjaga dan sukarelawan untuk membantu ahli keluarga penumpang.

MAS mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.

"Doa dan harapan kami bersama dengan penumpang dan anak kapal yang terlibat dan anggota keluarga mereka," menurut kenyataan itu.

Syarikat itu akan menyediakan perkembangan terkini berhubung keadaan itu.

Anggota keluarga penumpang dan anak kapal boleh menghubungi talian +603 7884 1234 (Malaysia) atau +31703487770 (Belanda). 





MAS, MH17, terhempas

Artikel Lain