suria

JPJ Perluas Pemeriksaan Meliputi Bas Persiaran Sempena Aidilfitri

Ismail (baju biru) mengagihkan bubur lambuk pada Program Keselamatan Jalan Raya Bersama Ketua Pengarah JPJ dan Program Pengagihan Bubur Lambuk Kepada Pengguna Jalan Raya di sini, Rabu.
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluas pemeriksaan kenderaan awam meliputi bas persiaran sepanjang kempen keselamatan jalan raya selama 16 hari bermula 21 Julai sempena perayaan Aidilfitri.


Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pemeriksaan itu meliputi pelbagai aspek teknikal yang akan dijalankan di 31 hentian rehat dan rawat (R&R) di seluruh negara.

Katanya, sebelum ini pemeriksaan sempena musim perayaan itu hanya dijalankan terhadap bas ekspres dan kenderaan awam lain.

"Kita akan periksa bas persiaran sama ada ia memenuhi syarat teknikal untuk bergerak seperti keadaan tayar dan brek selain melakukan ujian air kencing terhadap pemandu bas terbabit," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas program keselamatan jalan raya bersama-sama ketua pengarah JPJ dan program pengagihan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di sini semalam.

Ismail berkata, pengusaha bas yang ingin menawarkan perkhidmatan bas ekspres tambahan dan bas sewa khas sempena musim perayaan itu dinasihatkan mendapatkan permit daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata, seramai 1,800 anggota JPJ dibantu 500 anggota Skuad Muda 1JPJ akan digerakkan dalam kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

"Anggota skuad ini akan membantu kempen keselamatan jalan raya dengan mengedarkan risalah keselamatan di R&R selain memberi maklumat berhubung salah laku pengguna kepada anggota JPJ," katanya.

Sementara itu, katanya, modul penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu dijangka bermula bulan depan.

"Kita telah bersedia dengan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) bagi kenderaan automatik ini cuma terdapat sedikit isu yang perlu diteliti dan dibincangkan seperti penetapan harga bagi ujian menggunakan modul berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membincangkan isu berkenaan dengan persatuan dan institusi memandu bagi memutuskan penetapan harga yang bersesuaian dan tidak membebankan pengguna.



Artikel Lain