suria

Tingkat Taraf Bola Sepak Negara, Tak Perlu Bina Insinerator

Tan Sri Vincent Tan
PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu membina insinerator dengan kos RM1 bilion di Kuala Lumpur seperti yang diperkatakan, tetapi sebaliknya menggunakan dana tersebut untuk meningkatkan taraf bola sepak negara, kata hartawan Tan Sri Vincent Tan.

Vincent, yang merupakan pengasas Berjaya Corp Bhd (BCorp) berkata kerajaan perlu memikirkan semula rancangannya memandangkan pengurusan sisa pepejal perbandaran (MSW) sedia ada yang termasuk penghantaran sampah mentah ke tapak pelupusan sanitari Bukit Tagar telah 'diuruskan dengan berkesan' di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Tapak pelupusan sanitari Bukit Tagar mempunyai kapasiti kira-kira 120 juta tan, dan boleh mampu menguruskan sisa yang dijana di Kuala Lumpur dan Selangor (kira-kira 5,000 tan sehari) selama lebih 65 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Vincent, Bukit Tagar, yang telah ditubuhkan sejak tahun 2005, menerima 2,500 tan sampah sehari dari Kuala Lumpur semata-mata. 

Pemegang konsesi Bukit Tagar ialah KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd, yang mana 60 peratus dimiliki oleh BCorp dan 40 peratus oleh KUB Malaysia Bhd 

Baru-baru ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pembinaan insinerator tidak dapat dielakkan.

Tender bagi pembinaan insinerator itu yang akan ditempatkan di stesen pemindahan sisa semasa, di Taman Beringin, Kepong, dijangka dianugerahkan pada Jun depan, dengan jangkaan operasi dimulakan pada 2018.

Vincent berkata beliau percaya kerajaan "mungkin telah dikelirukan" oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri dalam mempromosikan projek insinerator.

"Selain isu-isu keselamatan dan alam sekitar, projek insinerator akan mengalirkan rizab luar negara kita kerana kebanyakan peralatan dan komponen perlu diperolehi daripada luar negara," katanya.

Disebabkan pembakaran akan mengurangkan jumlah bahan buangan kira-kira 90 peratus, dan jumlah berat sebanyak 80 peratus, KUB-Berjaya Enviro dijangka akan mempunyai pengurangan aliran pendapatan kerana jumlah sisa di tapak pelupusan akan menjadi beberapa kali lebih rendah selepas pembakaran.

Vincent berkata RM1 bilion yang diperuntukkan untuk insinerator sebaliknya perlu disalurkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan lagi bola sepak negara. 

"Sesuatu perlu dilakukan untuk memulihkan kedudukan kita di dunia bola sepak. Kita adalah sebuah negara yang cintakan bola sepak dan saya percaya kita mempunyai banyak anak-anak muda yang berbakat yang boleh mencapai tahap tertinggi bola sepak jika diberi peluang untuk berbuat demikian, "katanya.

"Mengapa menghabiskan RM1 bilion pada projek insinerator dan ia berakhir sebagai projek gajah putih? Mengapa tidak sebaliknya melabur RM1 bilion untuk membina akademi bola sepak di seluruh Malaysia?" kata VIncent.

Vincent Tan, Insinerator

Artikel Lain