suria

Militan: IPT Dalam Pemerhatian - Zahid

PETALING JAYA: Universiti dan kolej di Malaysia yang kini dikenalpasti sebagai sarang merekrut anggota militan menjadi sasaran siasatan anti pegganas.

Terbaharu, penglibatan pensyarah Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Mahmud Ahmad, 35, dalam senarai terbaru individu yang dikehendaki disyaki sebagai anggota militan meletakkan institusi pengajian tinggi IPT) kini berada di bawah pemantauan rapi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Cawangan Khas Bahagian Anti Keganasan melakukan pemantauan terhadap aktiviti merekrut anggota militan yang mungkin tidak disedari pihak universiti.

Beliau berkata, kerajaan sedar rakyat asing menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai medan merekrut dan memberi pendedahan asas kepada anggota militan.

"Kita tidak hanya memeriksa visa pelajar tetapi juga pas lain termasuk permit kerja. Malah mereka yang mempunyai status pelarian juga tidak akan dikecualikan daripada pengawasan," katanya pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata kumpulan ini juga menjadi sasaran dan sedang dikenalpasti melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain-lain.

"Kami berhadapan trend baharu aktiviti keganasan dengan penggunaan teknologi moden dan gesaan untuk berjihad oleh kumpulan pengganas antarabangsa," katanya.

Tambah beliau Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau kumpulan militan Daulah Islamiah Iraq dan Syria (ISIS) cuba menarik minat belia Malaysia untuk berjihad yang bakal membawa kepada ganjaran syurga.

Beliau berkata langkah radikal ini mensasarkan golongan belia dengan menyebarkan idea-idea melampau di ruang siber termasuk media sosial.

"Cara tradisional seperti pengesanan bakat juga masih digunakan termasuk ketika perhimpunan agama dan usrah," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Kementerian Dalam Negeri menghantar pulang 67 warga asing dari pelbagai negara yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan di Malaysia dan di luar negara sejak 2009.

Dr Ahmad Zahid berkata kebanyakan daripada mereka beroperasi di secata tertutup dengan menjadi pelajar di institusi pengajian tinggi.

"Ada juga anggota militan yang bekerja di industri tempatan dan kalangan ahli perniagaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain