suria

Vaksin Sanofi Mampu Kurangkan Kes Demam Denggi

PETALING JAYA: Demam denggi bakal ada penawarnya kerana kajian keberkesanan vaksin bagi virus itu sedang dijalankan.

Selepas penyelidikan secara intensif selama lebih 20 tahun, sebuah syarikat farmaseutikal Perancis mengumumkan vaksin demam denggi miliknya boleh mengurangkan kes demam denggi berdarah sebanyak 88.5 peratus.

Vaksin tersebut juga menunjukkan pengurangan yang memberangsangkan dari aspek risiko penghospitalan bagi kes demam denggi kepada dua pertiga.

Mereka yang mengambil vaksin ini akan dilindungi daripada empat serotip umum virus denggi dengan kesan perlindungan dianggarkan dari 34.7 peratus hingga 72.4 peratus, bergantung kepada setotip tersebut.

Ini adalah keputusan terbaharu yang didedahkan kepada umum pada Khamis dari Syarikat Sanofi Pasteur, Fasa III yang dijalankan di Asia Tenggara pada 2011 - 2013.

Pada April lalu, vaksin itu dilaporkan mampu mengurangkan ancaman penyakit itu dalam 56 peratus kes membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga 14 tahun yang menerima tiga dos vaksin tersebut.

Sanofi Pasteur melaporkan vaksin tersebut didapati selamat dan tidak memberi sebarang kesan sampingan.

Ketua unit vaksin Sanofi Pasteur, Guillaume Leroy berkata, syarikat tersebut akan mula memohon lesen awal tahun depan.

"Bagi melengkapkan Fasa III keputusan di Asia, percubaan berskala besar kedua sedang dijalankan di Amerika Latin, membabitkan lebih 20,000 sukarelawan yang akan menyediakan maklumat tambahan untuk menghantar lesen kita pada awal 2015," katanya.

Leroy berkata, tapak pemprosesan vaksin itu di Lyons telah menghasilkan vaksin tersebut sejak tahun lepas dan mampu membekalkan 100 juta dos vaksin setahun.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Denggi dari Institut Penyelidikan Perubatan Tropika di Filipina, Dr. Maria Rosario Capeding berkata, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam - lima negara yang terlibat dalam percubaan klinikal itu - mencatat kira-kira 70 peratus daripada kes denggi di seluruh dunia.
vaksin, demam denggi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain