suria

Ops Dadu: Polis Selangor Berkas 1,739 Individu

Abdul Samah Mat.
KUALA LUMPUR: Polis menahan 1,739 penjaga premis mesin judi selain menyita wang tunai RM162,368 dalam Ops Dadu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata sepanjang tempoh itu juga polis merampas 27,980 mesin judi.

Jumlah tangkapan itu meningkat 98 peratus berbanding 877 orang bagi tempoh sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh 12 hari lepas sejak 29 Jun, polis menahan 305 penjaga premis kafe siber serta 30 pelanggan yang sedang berjudi menerusi 379 serbuan yang dilakukan di seluruh negeri.

Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM29,037 serta 6,077 mesin judi, katanya.

Beliau berkata dalam operasi khas terhadap enam kafe siber di Ampang Jaya malam ini pula, polis menahan enam lelaki warga tempatan.

Lima daripada premis itu didapati tidak berlesen dan polis menyita 108 set komputer dan tujuh modem selain wang tunai RM382.

Kes disiasat menurut Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 3 Enakmen Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor.

Abdul Samah berkata polis Selangor sentiasa mengambil tindakan pemantauan dan pembanterasan terhadap kegiatuan perjudian bagi mencapai matlamat negeri Selangor zon 'sifar' perjudian.
Ops Dadu

Artikel Sebelum

Artikel Lain