suria

Perhimpunan Agung Umno, 25 hingga 29 November

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merasmikan aplikasi Puteri Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat memutuskan Perhimpunan Agung Umno 2014 (PAU) akan diadakan pada 25 hingga 29 November depan. 

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, PAU akan diadakan sebaik sahaja mesyuarat Umno  bahagian seluruh negara berakhir. 

"MT Umno juga bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat Umno bahagian yang sepatutnya berlangsung pada 8 hingga 14 September dilanjutkan kepada 30 September ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn di sini, Jumaat.

Terdahulu, Pergerakan Puteri Umno melancarkan aplikasi telefon pintar 'PUTERI' bagi memudahkan penyaluran pelbagai maklumat kepada wanita muda.

Aplikasi itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu, turut mengandungi maklumat mengenai pentadbiran dan pengurusan pergerakan tersebut.

Ketua sayap Mas Ermieyati Samsudin berkata aplikasi itu juga membolehkan wanita muda menyalurkan pandangan, cadangan dan maklum balas secara terus kepada pucuk pimpinan pergerakan. 

Antara kandungan dalam aplikasi itu ialah maklumat parti, pendaftaran dalam talian Puteri, rujukan usahawan, gerbang kerjaya dan semakan daftar pemilih, katanya dalam majlis tersebut.

Menurut Mas Ermieyati antara keistimewaan aplikasi ialah maklumat boleh dimuat turun walaupun tanpa perkhidmatan Internet. 
 
Aplikasi boleh dimuat turun secara percuma menerusi 'Google Play Store', 'Apple Apps Store' dan 'Windows Phone' melalui telefon pintar Android masing-masing.

Sementara itu, Perdana Menteri hari ini turut melancarkan program 'Internship Mahasiswa Turun Parlimen' (Mantap 4) yang melibatkan 134 mahasiswa tahun akhir yang akan ditempatkan bersama anggota parlimen Barisan Nasional.

Di bawah porgram itu, semua peserta berpeluang mengikuti aktiviti harian anggota parlimen terutamanya ketika menjalankan tugas rasmi di Dewan rakyat.

Program Mantap 4 akan berlangsung selama sebulan setengah bermula 22 September depan.
 


PAu, Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain