suria

Kerajaan Perlu Desak PBB Hentikan Kekejaman Israel

KUALA LUMPUR: Puteri Umno mahu kerajaan Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan udara Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Ketuanya Mas Ermieyati Samsudin turut melahirkan kekesalan dengan situasi dihadapi rakyat Palestin yang terpaksa berdepan dengan serangan roket bertalu-talu tentera Israel yang menyebabkan puluhan penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh.

"Ketika seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, di bumi Gaza pula sedang bermandi darah apabila puluhan rakyat Palestin maut dalam serangan ganas rejim zionis sejak beberapa hari lalu.

"Ini bukan kali pertama bumi Palestin bermandi darah susulan kekejaman rejim berkenaan tetapi serangan kali ini dianggap yang terburuk sejak 2012, " katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Mas Ermieyati berkata Puteri Umno mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas yang dilancarkan rejim Zionis itu, dan percaya lebih banyak nyawa orang awam, wanita dan kanak-kanak terkorban jika tidak dihentikan segera.

Beliau berkata sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin, Puteri Umno Selangor telah melancarkan Tabung Gaza dan menggalakkan Puteri Umno di negeri- negeri lain turut sama membuat kutipan bagi membantu meringankan beban penduduk Palestin di Gaza.


Israel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain