suria

Suri Rumah, Warga Vietnam Maut Kemalangan

Mayat lelaki warga Vietnam, Le Ngoc Toan tercampak kira-kira 35 meter selepas bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan yang menyebabkan dua maut di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut di Marang, malam Selasa.

MARANG: Seorang wanita tempatan dan seorang buruh warga Vietnam maut manakala dua lagi parah setelah terlibat dalam nahas melibatkan dua kereta serta sebuah motosikal dalam kemalangan di KM21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut, di sini malam Selasa.

Dalam kejadian 9 malam itu, suri rumah, Zuraiha Zainal Abidin, 33, dan Le Ngoc Toan, 30, mati di tempat kejadian setelah masing-masing mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Menurut jurucakap polis Marang, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang warga Vietnam itu dari arah Kuala Terengganu ke Dungun, cuba memotong sebuah kereta Proton Iswara.

Bagaimanapun lelaki Vietnam berkenaan gagal memotong kereta yang dinaiki Zuraiha bersama suami serta empat anaknya lalu merempuh sebuah Mercedes Benz yang datang dari arah bertentangan.

Katanya susulan rempuhan itu, Mercedes Benz yang dipandu Tengku Nasruddin Tengku Mahmud, 41, hilang kawalan lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki keluarga berkenaan.

Menurut jurucakap polis itu, rempuhan kuat tersebut mengakibatkan warga asing berkenaan tercampak kira-kira 35 meter dan putus kaki kanan serta tangan kanan hampir putus.

Suami Zuraiha, Badrul Hisham Bakar, 39, yang merupakan pemandu kereta Proton Iswara juga parah serta patah kaki kiri dan anak lelakinya Muhammad Adam Muamzar, 6, parah di kepala.

Tiga lagi anaknya, Muhammad Adam Wazif, 8, Nur Nia Dzaira, 4, dan Qaseh Eva Qaizara, 1, cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Dua penumpang kereta Mercedes Benz itu, Tengku Yusof Tengku Mahmud, 58, yang merupakan bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan Penolong Pendaftar UiTM Dungun, Mohd Nasrul Nizam Mohd Nasir, 33, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu ibu saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata beliau difahamkan anak saudaranya itu dalam perjalanan dari Kampung Palekbang, Kelantan menuju ke rumah kakak iparnya yang tinggal di Paka, Dungun.

"Saya terkejut selepas terima panggilan telefon mengatakan anak saudara saya terlibat dalam kemalangan dan saya terus bergegas ke hospital," katanya ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Risikin Satiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat manakala kesemua mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.


Polis, Vietnam

Artikel Berikut

Masa Sukar Bagi Doktor

Artikel Lain