suria

Pemilihan PKR: Kerusi Timbalan Presiden, Azmin Kekal Dahului Abdul Khalid

PETALING JAYA: Hasrat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menafikan penguasaan Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir musnah apabila musuh politiknya itu kekal mendahului keputusan terkini pemilihan.

Menteri Besar itu terpaksa berpuas hati apabila hanya memperoleh 17,608 undi iaitu ketinggalan sebanyak 3,458 undi di belakang Azmin.

Berdasarkan keputusan terkini sehingga 28 Jun lalu, Azmin yang juga penyandang jawatan timbalan presiden PKR berada pada kedudukan selesa apabila mendapat 21,066 undi.

Sementara itu seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden, Datuk Saiffuddin Nasution Ismail memperoleh 9,944 undi.

Keputusan terkini ini melibatkan 195 daripada 198 cabang di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul menerusi  sidang medianya pada Rabu berkata tiga lagi cabang  yang belum selesai proses pemilihan dan pengiraan undi ialah Kelana Jaya, Puchong dan Pensiangan.

"Bagi Kelana Jaya dan Puchong, pemilihan semula akan diadakan pada 10 Ogos depan. Manakala bagi Cabang Pensiangan, kita hanya tunggu keputusan rasmi untuk disahkan.

"Semua keputusan penuh termasuk melibatkan tiga cabang ini akan diumumkan di Kongres Nasional pada 22 hingga 24 Ogos nanti," katanya.

PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain