suria

11 Senator Mexico Lawat Malaysia Sempena 40 Tahun Hubungan Diplomatik

Abu Zahar (right) menerima kunjungan hormat Duta Mexico ke Malaysia, Carlos Isauro di pejabatnya di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Seramai 11 Senator Republik Mexico akan melawat Malaysia pada Ogos depan sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara dua negara sejak 1974.


Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasrat itu dimaklumkan oleh Duta Besar Republik Mexico di sini Carlos Isauro Felix Corona pada pertemuan mereka selama sejam di Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata, delegasi itu akan diketuai Presiden Hubungan Luar republik itu dan mereka dijadual berada di sini selama tiga hari bermula 7 Ogos.

 "Felix Corona turut memberitahu deligasi itu berhasrat mahu bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa berada di sini.

"Mereka juga berhasrat untuk melawat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana reputasi syarikat minyak negara kita di peringkat antarabangsa selain mahu berkunjung ke ikon pelancongan negara iaitu Batu Caves dan Melaka," katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, beliau dimaklumkan bahawa Mexico kagum dengan pencapaian Malaysia yang cemerlang dalam pembangunan ekonomi, sehingga menjadi rakan dagangan nombor satu Mexico bagi rantau Asia Tenggara.

"Bagi rantau Asia pula, Malaysia menduduki ranking keenam dan berada di kedudukan nombor 15 untuk seluruh dunia," katanya.

Felix Corona juga memuji kemampuan Malaysia mengekalkan keamanan sehingga menarik minat ramai warga asing, termasuk sekitar 300 warganegaranya yang terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan dan pelajar untuk datang ke sini. 


senator, Mexico, hubungan diplomatik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain