suria

Remaja Maut, Empat Rakan Parah Motosikal Bergesel Sesama Sendiri

KUANTAN: Seorang remaja maut manakala empat rakannya parah apabila motosikal mereka dikatakan bergesel sesama sendiri di Km 19, Jalan Chini-Kuantan dekat Pekan malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, mangsa yang maut dalam kejadian 11.20 malam itu dikenali sebagai Mohd Sharif Hesyam Sulaiman, 20, dari Felda Chini 4, Pekan.

Mereka yang parah ialah Mohd Khairi Asraff, 16, Abu Zarin Mohd Anuar, 19, Muhd Adrie Najmi Mohd Shukri, 17, dan Mohd Johar, 19, yang kesemuanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Seorang lagi yang cedera ringan yang dikenali sebagai Zul sedang dicari bagi membantu siasatan.

Yahaya berkata kesemua mereka serta beberapa yang lain sedang berkonvoi dari arah Chini menuju Kuantan.

"Motosikal yang dinaiki Mohd Sharif dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal yang masih belum dikenal pasti penunggangnya. Ekoran itu dia terbabas ke bahu jalan sebelum kepalanya terhantuk pada tiang elektrik dan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Ekoran itu, lima lagi rakannya yang masing-masing menunggang motosikal turut bergesel sesama sendiri dan terjatuh.

Beberapa lagi motosikal dipercayai turut terbabit dalam kemalangan itu.

Sementara itu seorang penunggang motosikal Kamarul Ariffin Sudinman, 30, dari Desa Anggerik, Pekan maut apabila motosikalnya merempuh belakang sebuah lori di Km 57, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai kira-kira 6.15 pagi Selasa.
kemalangan, motosikal

Artikel Lain