suria

Najib Umum Dua Komponen Utama Penstrukturan Semula Esscom

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.

Beliau berkata komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan bertujuan untuk menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi tujuan mempertingkatkan keberkesanan operasi.

Komponen itu akan diterajui seorang Komander Esscom yang mengetuai tiga bahagian khusus iaitu bahagian perisikan, bahagian keselamatan dan pertahanan serta bahagian operasi.

Pada sidang media mengumumkan penstrukturan semula Esscom di Bangunan Perdana Putra di sini, Najib berkata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, DCP Datuk Abd Rashid Harun dilantik sebagai Komander Esscom untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.

Beliau akan mengetuai bahagian perisikan, keselamatan dan pertahanan serta operasi di Esszone berkuat kuasa 15 Julai. 

"Penstrukuran semula Esscom dan langkah lain yang telah dan sedang dilaksanakan diharap akan meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah. 

"Kerajaan juga berharap seluruh rakyat, khususnya penduduk di kawasan timur Sabah supaya sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengukuhkan keselamatan di sana. Dengan sokongan dan kerjasama rakyat Sabah, pasukan keselamatan dan agensi-agensi lain terlibat dapat menjaga serta mengukuhkan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah," katanya. 

Najib berkata Komander Esscom akan dibantu seorang Timbalan Komander bagi membantu pentabdiran operasi.

Bagi komponen penguatkuasaan dan tindakan awam, perdana menteri berkata ia akan melihat kepada pematuhan ke atas undang-undang negara yang berkaitan dengan peraturan imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, kawalan barang-barang kawalan dan perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat.

Komponen itu akan diketuai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk mentadbir tiga bahagian - Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penguatkuasaan dan Tindakan Awam serta Bahagian Khidmat Keurusetiaan.

Najib berkata langkah penstrukturan semula itu akan memperkemas pengurusan di kawasan pantai timur Sabah dan memantapkan Esscom.

Langkah penstrukturan semula itu, katanya, bertujuan memantapkan rantaian arahan organisasi Esscom.

Ia juga bertujuan meningkatkan dan memastikan penglibatan sepenuhnya setiap peringkat rakyat bersama agensi-agensi keselamatan dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas daripada pencerobohan dan jenayah, kata perdana menteri.

Beliau juga berkata ia dapat mewujudkan hala tuju bersama dan tindakan bersepadu dalam kalangan anggota keselamatan untuk memastikan Sabah Timur dalam keadaan selamat dan harmoni.

Selain penstrukuran semula Esscom, Najib berkata tiga langkah turut diambil untuk meningkatkan keselamatan di pantai timur Sabah termasuk penguatkuasaan laluan ditetapkan untuk bot-bot memasuki perairan Sabah.

Beliau berkata laluan ditetapkan itu akan memastikan semua bot yang memasuki perairan negeri Sabah perlu berada di dalam kawasan atau laluan yang dibenarkan sahaja.

"Langkah ini akan membolehkan kawalan keselamatan dan pengawasan terhadap bot-bot di perairan pantai timur Sabah dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bot-bot yang tidak mematuhi peraturan akan ditahan serta dikenakan tindakan oleh agensi penguatkuasaan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada," katanya.
Esscom, komander Esscom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain