suria

Ahli Perniagaan Hong Kong Maut Kemalangan Tidak Bawa Wang Tebusan

Datuk Jalaluddin Abdul Rahman
KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan Hong Kong yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sandakan pada Sabtu lalu membawa wang untuk kegunaan peribadi, bukan membawanya bagi menjamin pembebasan pengurus sangkar ternakan ikan yang diculik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, wang sejumlah RM3,000 dalam pelbagai mata wang ditemui di tempat kejadian di mana Kee Kwok Edien, 63, dan tiga yang lain di dalam teksi terbunuh dalam kemalangan di Batu 21, Jalan Labuk.

"Kami percaya ia untuk kegunaan peribadi," kata beliau sambil menekankan dasar kerajaan yang tidak melayan tuntutan wang tebusan.

Kee yang dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu dengan seorang ahli perniagaan Malaysia, Jaafar Kassim, 40, dari Langkawi, dan pekerja Filipina Pedro Jr Pajimola, 36, berada di dalam teksi yang merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketiga-tiga mereka, bersama-sama dengan pemandu teksi, Salah Ibno, 64, meninggal dunia selepas perlanggaran.

Kee adalah pemilik Wonderful Terrace Fish Farm di Lahad Datu, di mana pengurusnya Yang Zau Lin, yang berusia 34 tahun, telah diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata Filipina pada 6 Mei.

Spekulasi bahawa Kee telah membawa sejumlah besar wang bagi pembebasan pengurusnya muncul apabila media Hong Kong berkata beliau sedang dalam perjalanan ke Lahad Datu untuk bertemu pengantara bagi berunding mengenai pembebasan Yang.

Jalaluddin berkata setakat yang diketahui pihak polis, Yang masih ditahan penculik yang meminta wang tebusan di kawasan Sulu.

Isteri Kee dan ahli-ahli keluarga yang lain serta keluarga Jaafar menuntut mayat-mayat di Hospital Duchess of Kent. 

ahli perniagaan Hong Kong

Artikel Lain