suria

Skim Cepat Kaya Zhang Jian Tarik Pelaburan RM300 Juta

Poster mempromosi kegiatan skim cepat kaya Zhang Jian di Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR: Skim cepat kaya yang dipelopori individu dikenali sebagai Zhang Jian dipercayai menarik pelaburan mencecah RM300 juta di seluruh negara.


Difahamkan, jumlah pelaburan itu diperolehi sejak skim itu diperkenalkan kepada orang ramai menerusi iklan di Internet pada akhir tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, jumlah pelaburan RM300 juta itu adalah berdasarkan sumber tidak rasmi.

"Aduan orang ramai mengenai skim ini mula diterima KPDNKK sejak dua bulan lalu," katanya pada sidang media khas di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai skim cepat kaya yang diiklankan di Internet melibatkan Zhang Jian yang mendakwa dirinya sebagai 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia' menerusi papan iklan gergasi di jambatan Pulau Pinang.

Alias berkata, syarikat pelbagai peringkat (MLM) yang melibatkan Zhang Jian itu adalah haram kerana tidak berdaftar bagi menjalankan operasi di negara ini, antaranya di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Skim itu dengan hanya melabur sebanyak RM300, pelabur dijamin dengan pendapatan antara RM2,700 dan RM6,800 sebulan.

Menurut Alias, berdasarkan siasatan awal, syarikat itu menawarkan pembelian pakej terpilih yang dijanjikan mampu menjana pulangan tinggi tanpa perlu menjual apa-apa produk atau perkhidmatan.

Tambahnya, peserta skim ini juga digalakkan untuk mencari peserta bawahan bagi meningkatkan pulangan pendapatan.

"Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh, tidak tertipu dan tidak mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan oleh syarikat ini," kata Alias.


Zhang Jian, skim cepat kaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain