suria

Penghantaran Rizalman Ke New Zealand Mungkin Ditangguh

Muhammad Rizalman
PETALING JAYA: Bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail mungkin tidak berada dalam keadaan cukup baik dan sihat untuk diterbangkan ke New Zealand pada Isnin bagi menghadapi pertuduhan seks.

Akhbar harian New Zealand Herald pada Ahad melaporkan bahawa doktor yang merawatnya di Hospital Tentera Tuanku Mizan, telah memberi amaran bahawa dia mungkin tidak layak untuk diterbangkan.

Memetik sumber dari hospital, laporan itu menyatakan bahawa Muhammad Rizalman, 38, 'nampak tidak berada dalam keadaan baik' dan mungkin memerlukan ujian lanjut.

Dalam laporan itu, kakitangan hospital dilaporkan berkata Rizalman seolah-olah memencilkan diri dan tertekan.

Seorang doktor kanan juga mengesahkan bahawa dia mungkin memerlukan penilaian psikiatri selanjutnya.

Rizalman, didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di rumahnya di Wellington.

Dia dilaporkan mengikut wanita muda itu kembali ke rumahnya di Brooklyn pada malam 9 Mei dan didakwa menyerang wanita itu dengan niat untuk merogol.
Muhammad Rizalman Ismail

Artikel Lain