suria

JE: Pemantauan Ditingkatkan di Ladang Ternakan Babi Berisiko Tinggi

BERA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Jabatan Kesihatan akan meningkatkan pemantauan dan mengadakan semburan ke atas ladang ternakan babi terutamanya yang berisiko tinggi membawa jangkitan penyakit Japanese Encephalitis (JE).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah tersebut sebagai mengawal vektor (nyamuk) jenis culex Tritaeniorhynchus yang menjadi punca penularan wabak berbahaya tersebut.
 
"Selain peningkatan pemantauan ke atas ladang babi ini, ternakan babi juga dari ladang ini tidak dibenarkan dibawa keluar," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dan pemberian bantuan Ramadan di Felda Bukit Kepayang di sini hari ini.

Ismail Sabri dalam pada itu turut menggesa 542 pengusaha ladang ternakan babi di Semenanjung supaya meningkatkan tahap kebersihan ladang dan kandang masing-masing dengan menyediakan sistem perparitan dan kumbahan najis ternakan yang teratur sekali gus dapat membanteras pembiakan nyamuk di kawasan ladang ternakan.
 
"Walaupun ladang ternakan babi di Kampung Selamat dilaporkan negatif sebagai punca penyakit JE, namun pihak Jabatan Veterinar tetap memantau pergerakan ternakan babi dan ladang di kampung berkenaan," katanya.

Ismail berkata pengurusan ladang juga diminta melaporkan kepada Jabatan Veterinar sekiranya terdapat ternakan ataupun pekerja mereka yang sakit untuk diambil tindakan dan diberikan rawatan bagi mengelakkan sebarang wabak penyakit berjangkit menular.
 
"Pemantauan juga akan dilakukan tidak hanya bertumpu kepada ladang ternakan babi sahaja namun ladang ternakan lain seperti ayam, lembu dan kambing juga akan diberi perhatian kerana virus JE boleh berjangkit kepada ternakan lain, tidak hanya kepada babi sahaja," katanya.

Minggu lalu seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dimasukkan ke hospital kerana disyaki dijangkiti JE.


Artikel Lain