suria

Dua Beranak Maut Motosikal Dirempuh Kereta Terbabas

Gambar hiasan.
KEPALA BATAS: Dua beranak yang dalam perjalanan ke Padang Lalang, Kedah maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Lembah Raja, Ekor Kucing di sini hari ini.

Mangsa Zarina Husin, 42, dan ibunya Mariam Ismail, 60, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala seorang lagi iaitu anak Zarina, Nurul Ain Anuar, enam tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 8.30 pagi ketika motosikal yang ditunggang Zarina dari arah Pinang Tunggal menuju Ekor Kucing dilanggar sebuah kereta.
 
"Kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan itu dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki mereka.
 
"Akibat perlanggaran itu, dua wanita berkenaan terpelanting ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala seorang kanak-kanak perempuan yang turut menaiki motosikal itu terpelanting ke dalam semak berhampiran serta mengalami kecederaan ringan," katanya di sini hari ini.

Katanya pemandu kereta berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Abdul Rahman berkata mayat dua wanita berkenaan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk dibedah siasat manakala kanak-kanak perempuan itu turut dibawa ke hospital yang sama.

Sementara itu, suami Zarina, Anuar Sudin, 35, yang ditemui di perkarangan bilik mayat HKB berkata isteri dan ibu mertuanya serta anak bongsu mereka dalam perjalanan menziarah adik bongsu Zarina di Padang Lalang.
 
"Kira-kira pukul 8 pagi tadi mereka keluar dari rumah kami di Kampung Setol dengan menaiki motosikal untuk ke rumah adik ipar saya di Padang Lalang kerana emak rindukan cucunya di sana," katanya.

Beliau sebak mengenangkan empat orang anaknya berumur 6 hingga 14 tahun yang bakal menyambut Aidulfitri tanpa ibu tersayang.
 
"Nurul Ain kelihatan trauma dan sehingga sekarang dia masih belum mengetahui ibunya sudah tiada," katanya yang reda dengan pemergian isterinya itu.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pinang Tunggal di sini selepas Asar hari ini.



motosikal, kereta terbabas

Artikel Lain