suria

Pemilu: Lebih 40 Peratus Pemilih Layak Di KL Keluar Mengundi

Herman Prayitno. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno yakin lebih 40 peratus daripada 50,569 pengundi yang layak mengundi di Kuala Lumpur, keluar mengundi awal untuk Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia 2014 pada Sabtu.

Ini berdasarkan peningkatan kehadiran jumlah pengundi di dua pusat pengundian di sini, iaitu di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak dan Sekolah Indonesia Kuala Lumpur di Lorong Tun Ismail, katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

"Sejak 9 pagi tadi dan sehingga jam 3 petang ini, pengundi tidak berhenti-henti datang untuk menunaikan kewajiban (mengundi) dan ini merupakan petanda yang baik kepada kita.

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan sebenar pengundi yang turun untuk mengundi hanya dapat diketahui selepas jam 7 malam ini atau keesokan hari," katanya.

Prayitno sebelum ini berkata, terdapat 420,643 warga Indonesia yang menetap di negara ini mendaftar sebagai pemilih.

Sebanyak 246,626 daripada jumlah itu merupakan pengundi yang tinggal di luar Kuala Lumpur, dan mengundi melalui pos iaitu surat telah dikirim pada 27 Jun lepas dan bagi 47,596 pemilih yang bekerja di kilang atau ladang, pengundian dilakukan melalui sistem 'drop box' dan kertas undi dikirim sejak Selasa.

Selebihnya 126,421 pemilih mengundi di pusat pengundian awal di Kuala Lumpur serta di lima konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Johor, Kuching dan dua di Sabah.

Sementara itu, sejak pusat pengundian dibuka 9 pagi ini, proses pengundian bagi Pemilu Presiden Indonesia yang ke-11 berjalan lancar dan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Prayitno dan isterinya Ratna Andarwati turut mengundi di KBRI jam 10.30 pagi.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengundi berkata 70 peratus daripada pengundi warga Indonesia di sini terdiri daripada mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor, sementara 30 peratus lagi terdiri daripada pelajar yang menuntut di pelbagai institusi pengajian di sini.

Pemilu Presiden Indonesia kali ini akan menentukan pemimpin Indonesia bagi penggal 2014-2019 yang ditandingi oleh Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) serta Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Prayitno berkata, Pemilu Presiden Indonesia 2014 memang dinantikan oleh warga Indonesia di Malaysia kerana ia boleh mengubah wajah pentadbiran dan sosio-ekonomi negara berkenaan.

"Secara keseluruhan, kita menganggap pemilihan Pemilu Presiden penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat lantas memperbaiki hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) KBRI di Kuala Lumpur, Tengku Adnan Tengku Azlan berkata, seramai 420 anggota ditugaskan untuk mengawal dan memantau proses pengundian dengan 154 petugas di KBRI dan selebihnya di Sekolah Indonesia.

Sebanyak 22 kaunter daftar pemilih dibuka di KBRI, dan 38 di Sekolah Indonesia KL, tambahnya.

Bagi kontraktor Slamet Ruswanto, 31, yang berasal dari Cicalap, Jawa Tengah yang menetap di Malaysia sejak dua tahun lepas, sanggup mengambil cuti bagi mengundi hari ini yang dianggapnya penting untuk nasib orang sepertinya yang mempunyai anak dan isteri yang ditinggalkan di Indonesia.

"Sebagai golongan yang tidak berkemampuan, saya mengharapkan pemerintahan menjadi lebih baik selepas ini dan taraf hidup masyarakat serta sistem pertahanan juga meningkat. Ini kerana memang sudah lama saya ingin melihat di Indonesia maju," katanya.

Bagi pelajar jurusan Pengurusan Hospitaliti di Universiti Taylor Jimmy Japola, 20, yang mengundi buat kali pertama berkata, kini masanya untuk generasi muda Indonesia untuk bersuara dengan mengundi calon yang mereka inginkan. 

"Semoga segala janji yang dilontarkan calon-calon presiden ketika kempen pemilihan bukan omongan kosong dan akan ditunaikan tatkala menjadi pemimpin.

"Pada ketika ini walaupun kemajuan Indonesia lumayan, saya merasakan penambahbaikan untuk urusan kenegaraan perlu dibuat lebih-lebih lagi melibatkan ekonomi," tambahnya.

Bagi suri rumah sepenuh masa Diyana Chong, 52, yang kali kedua beliau mengundi di Malaysia sejak menetap di sini 10 tahun yang lepas berkata walaupun beliau telah berkahwin dengan rakyat Malaysia, Indonesia sentiasa dekat dengan hatinya.

"Saya cuma mengharapkan Indonesia mampu menjaga keamanan supaya ia bisa mengekalkan hubungan baiknya dengan negara luar seperti Malaysia, hal-hal lain boleh dikemudiankan," katanya.

Bagi jurugambar bebas Agung Sunarto, 29, pula berkata sesiapa pun yang menjadi presiden baharu tidak penting, yang penting yang dipilih sebagai presiden harus bijak merencanakan pembangunan politik, ekonomi dan sosial.

Sementara Yadi Kusmayadi, 38, yang telah tinggal di sini sejak lima tahun lepas pula menganggap pemilihan Presiden kali ini paling emosional kerana melibatkan dua parti yang sama-sama mahu menegakkan kepentingan rakyat.

"Bagi saya, pemilihan ini benar-benar demokrasi terbuka," katanya yang menjadi pengurus di sebuah syarikat minyak dan gas.

Artikel Lain