suria

Militan: Joraimee Dipecat Kerana Tak Hadir Kerja

Muhammad Joraimee Awang Raimee.

PETALING JAYA: Kontrak pekerjaan seorang suspek militan, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, dengan Majlis Perbandaran Selayang telah ditamatkan pada 27 Mei tahun ini kerana tidak hadir bertugas tanpa kebenaran.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Muhammad Joraimee mula bertugas sebagai kakitangan pentadbiran pada 18 April 2011 dengan jawatan sebagai ketua bahagian.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Joraimee tidak hadir bertugas tanpa kebenaran dari 29 April sehingga 30 April dan 2 Mei sehingga 26 Mei tahun ini.

Majlis Perbandaran Selayang cuba untuk menghubunginya menerusi telefon dan emel berikutan ketidakhadirannya itu tetapi gagal.

Mereka juga tidak dapat mengesan beliau di alamat rumah serta melalui ahli keluarganya.

Menurut kenyataan itu lagi, penamatan kontraknya adalah selari dengan pekeliling 2008 terhadap Dasar dan Prosedur Perlantikan Secara Kontrak.

Muhammad Joraimee merupakan antara lima yang dipercayai merupakan anggota sebuah kumpulan militan yang kini diburu polis atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan Militan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Artikel Lain