suria

Undang-Undang Kuarantin Ladang Positif JE Akan Diwarta

Pelajar SK Kampung Selamat menandatangani papan kenyataan 'Pray For Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli' sebagai tanda sokongan kepada rakan mereka yang disahkan menghidap JE di Kampung Selamat, Tasik Gelugor.
GEORGE TOWN:Ladang babi di negeri ini yang menunjukkan keputusan positif virus Ensefalitis Jepun (JE) terhadap sampel darah haiwan itu akan dikuarantin, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Beliau berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang akan mengeluarkan satu pewartaan penyakit seperti termaktub dalam Ordinan Haiwan 1953 dan Perintah Haiwan (Kawalan Penyakit Viral Ensephalitis) 1999 yang akan diumum Ketua Menteri, Lim Guan Eng sekiranya ujian sampel darah itu positif JE.

"Kerajaan negeri memandang serius terhadap pendedahan kes virus Ensefalitis Jepun (JE) yang melanda negara. Kami akan mengambil langkah pencegahan perlu bagi mencegah virus ini daripada tersebar.

"Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengatasi masalah ini dan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya dalam sidang akhbar, di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kawalan vektor nyamuk telah dimulakan sejak pendedahan kes JE itu dan ia akan diteruskan.

Dr Afif berkata, kerajaan negeri turut bimbang dengan prosedur Kementerian Kesihatan yang tidak memaklumkan mengenai penularan jangkitan virus itu dari awal untuk tindakan pihak berkenaan.

"Saya menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk menyiasat perkara ini dan melakukan perubahan yang sewajarnya demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat," katanya.

Tiga kes JE dilapor di negeri ini melibatkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki.

Dua kanak-kanak itu ialah seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan, Norain Nasuha Shukri yang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Dr Afif berkata, kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tinggal di Lorong Seratus Tahun, di sini dan sedang pulih, namun belum sihat sepenuhnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom seperti demam berpanjangan, loya, muntah atau pening kepala supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.


JE, babi, Dr Afif Bahardin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain